Rabu, 24 Jun 2009

MAK TUKANG JAHIT YANG MAHIR

Mak sangat pandai menjahit baju. Semua fesyen boleh mak jahit - baju kurung, kurung moden, blaus, seluar, baju melayu, kebaya, malah fesyen-fesyen yang terdapat di dalam majalah fesyen boleh mak buat dan jahit.
Hampir semua baju-baju dari zaman kanak-kanak hinggalah ke zaman anak dara dijahit oleh mak. Aku sangat bangga memakai baju jahitan mak. Mak juga mengambil upah menjahit baju. Walau sesibuk manapun mak menjahit baju pelanggan, baju aku tidak pernah mak lambat menjahitnya. Mak akan membeli kain dan terus menjahitnya. Aku hanya menerima yang telah siap dijahit sahaja. Setahun setelah berkahwin, barulah aku menempah baju dengan orang lain. Itupun kerana aku duduk berjauhan, mak di Negeri Sembilan, aku di Terengganu.
Kemahiran mak menjahit serba sedikit turun kepada aku. Walau aku tak semahir mak, sekurang-kurangnya aku boleh menjahit baju kurung atau kebaya. Kalau tukang jahit tak terima untuk menjahit kerana sudah ramai pelanggan, aku boleh menjahit sendiri. Anak-anak perempuan akupun lebih suka aku menjahit baju mereka., kata mereka baju yang aku jahit jauh lebih selesa. Tapi masa tak mengizinkan aku untuk menjahit selalu.

1 ulasan:

  1. Aku ingat lagi masa zaman sekolah, pakaian sekolah tak pernah beli, semua mak jahit. Baju melayu raya pun sama, sampai sekarang tak pernah aku nak beli baju melayu, mesti suruh arwah buat.

    BalasPadam