Ahad, 7 Ogos 2011

LAGU-LAGU DAN MAK

Klasik Nasional. Sejak mak tiada, lagu-lagu di stesen radio Klasik Nasional ini banyak mengimbau kenangan aku dengan mak. Kadang-kadang bila aku mendengar radio, terimbas kembali lagu-lagu yang mengembalikan ingatan aku pada mak.

Aku masih ingat lagu '3 Malam' nyanyian seorang penyanyi Indonesia adalah lagu pertama yang aku dengar mak nyanyikan. Mak nyanyi di hadapan anak-anak sambil bergurau-gurau dengan kami. Alangkah bahagian tika itu. Walau peristiwa itu telah berlalu hampir 40 tahun, tp masih jelas bermain-main di mataku tika dan saat itu. Ianya seolah-olah terakam dan boleh aku lihat bila-bila masa sahaja.

Masa aku kecil, lagu-lagu penyanyi Indonesia sangat popular ketika itu. Banyak kaset-kaset penyanyi dari seberang ini dalam koleksi keluarga. Antaranya yang menjadi koleksi ialah dari penyanyi Muchsin, Titik Sandhora, Ely Kassam, Elya Khadam dan ramai lagi. Begitu juga dengan lagu-lagu Hindi. Lagu-lagu ini jadi peneman kami kerana ketika itu TV masih belum popular. Tambahan lagi ketika itu kami sekeluarga menetap di Sarawak dan TV masih belum ada di sana.

Mak sangat meminati Syarifah Aini. Kami juga memiliki koleksi penyanyi dari Malaysia yang menjadi minat mak untuk mendengar di kala lapang. Antaranya Zaleha Hamid.

Kini, baik di rumah, di pejabat atau di dalam kereta Klasik Nasional menjadi stesen radio kegemaran aku. Walau anak-anak aku adakalanya komen kerana aku mendengar stesen ini, tapi mereka tidak tahu lagu-lagu di stesen ini banyak mengingatkan aku pada mak. Mendekatkan aku dengan mak. Mengimbau kenangan aku dengan mak. Bagi aku mak masih hidup walaupun hakikatnya mak sudah tiada. Mak sentiasa hidup di hati aku.

Selasa, 2 Ogos 2011

MIMPIKAN MAK

Kerinduan kepada mak membuatkan aku sering bermimpikan mak. Sekurang-kurangnya sebulan sekali aku akan mimpikan mak. Mimpi yang pastinya sangat manis. Mimpi aku berkata-kata dengan mak. Mimpi mak yang sentiasa tersenyum kepada aku.

Tapi pengakhiran mimpi selalunya membuatkan aku sedih. Mimpi ku sering diakhiri di mana aku menyedari bahawa mak sebenarnya sudah tiada. Mimpi yang sebenarnya realiti. Di akhir kata-kataku bersama mak, aku tersedar mak sudah lama pergi. Aku jadi keliru bagaimana aku boleh berbual-bual dengan mak sedangkan hakikatnya mak sudah tiada. Akhirnya aku terjaga dari tidur. Aku terjaga dari mimpi. Aku menghadapi realiti yang sebenarnya. Mak tiada.

Ya Allah. Apakah pertemuan di dalam mimpi ini sebenarnya pengubat rindu ku pada mak. Atau sebagai pernyataan bahawa hidup mak di alam sana sangat tenang, setenang mimpi aku bertemu mak? Kalau itulah gambaran hidup mak di sana, syukur alhamdulillah. Ya Allah, terangilah kehidupan mak di sana.

Mak, sesungguhnya rinduku tak pernah pudar. Ingatan ku pada mak tak pernah hilang. Kasih sayang ku terlalu sukar untuk kugambarkan.

Imbasan kenangan-kenangan lalu sering berada dalam kotak fikiran ku. Kenangan bersama mak yang terlalu indah, yang terlalu sukar untuk kugambarkan. Tiada secalitpun kenangan pahit bersamamu mak.

Mak, dibulan Ramadhan yang mulia ini ingatan terhadap mak makin kuat. Betapa mak menyediakan segala kelengkapan menyambut puasa tanpa sebarang rungutan. Mak lakukannya sendirian. Mak hanya mahu melihat semua anak-anak mak gembira.

Mak, kalaulah mak masih ada, tidak akan ku lepaskan peluang untuk bersama mak setiap masa terluang. Kenapa dulu aku tidak sering menjenguk mak? Kekangan masa. Ye mak, kekangan masa, tugas dan keluarga tidak memungkinkan aku untuk bersama mu selalu. Tapi jauh di sudut hati ku, mak sentiasa dekat dalam hati.

Terbayang-bayang dalam ingatan aku, puasa terakhir bersama mak pada tahun 2008. Mak masih gagahkan diri menyediakan juadah buat kami semua walaupun ketika itu kesihatan mak sudah agak tidak memuaskan. Mak dayakan juga demi untuk melihat anak-anak gembira. Tiada istilah penat yang keluar dari mulut mak. Mak sentiasa tersenyum melayan kami. Oh mak, betapa luhurnya hatimu mak.

Ya Allah, tenangkan lah hati hamba mu ini dalam menghadapi kehilangan abadi ini. Sesungguhnya sangat perit untuk aku menerima semua ini. Hanya kepadamu ya Allah tempat aku mengadu, tempat aku berserah. Ku doakan moga mak tenang di alam sana.

Al Fatihah untuk arwah mak, Siti Mariam binti Ibrahim.

Ahad, 4 Oktober 2009

RAYA TANPA MAK

Tahun ini tahun pertama kami sekeluarga berhari raya tanpa mak. Raya ini kurang meriah rasanya. Kebetulan tahun ini aku sekeluarga berhari raya di Kuala Terengganu terlebih dahulu, hari raya ke 3 baru kami balik kampung di Negeri Sembilan.

Tahun-tahun semasa mak masih ada, aku pasti akan ke Pasar Payang untuk membelikan buah tangan hari raya buat mak dan abah. Tapi tahun ini pasar ini tidak kujejaki. Tiada maknanya aku membeli kalau orang yang kusayangi telah tiada. Untuk abah pula telah lama kubelikan kain pelikat cuma belum berkesempatan untuk bagi pada abah lagi.

Tiada persiapan raya langsung buat diri aku. Hanya 2 helai baju yang telah lama ku tempah semasa menjaga mak sakit dahulu dan hanya siap sehari sebelum raya. Baju yang sepatutnya baju untuk pergi bekerja telah menjadi baju raya. Baju anak-anak perempuan pula semua ku jahit sendiri. Biskut hanya ku beli satu jenis sahaja. 2 jenis pula diberi oleh jiran dan 1 jenis lagi diberi oleh kawan suami. Aku hanya membeli beberapa jenis kerepek di kedai.

Hari raya ke 3 aku sampai di kampung dalam pukul 10.00 malam. Tiada mak yang menyambutku seperti selalu. Tiada rendang yang menjadi sebutan dan kesukaan suami dan anak-anak yang sering mak buat setiap kali raya. Raya ini benar-benar sepi tanpa mak. Aku menangis di dalam hati. Tidak mungkin untuk kutunjukkan pada abah. Aku rasa mak seolah -olah ada di dapur menyambutku seperti selalu. Mengajak aku makan apa yang ada. Bersembang dengan aku di dapur dan meluahkan apa saja yang terbuku di hati mak. Disebabkan aku hanya balik dalam masa yang singkat, aku dan mak selalu bersembang sampai larut malam. Aku menjadi pendengar setia mak. Mak juga akan mendengar cerita-cerita aku. Kami bertukar-tukar cerita. Ketawa kami membelah kesunyian malam.

Kini kenangan raya bersama mak hanya tinggal kenangan. 3 hari aku dan suami bertahlil di pusara arwah mak. Aku terasa begitu dekat dengan mak. Terima kasih kepada suami aku yang sering mengingatkan aku dan anak-anak untuk sedekahkan al-fatihah, bacaan al-quran dan doa buat mak. Alhamdulillah, walaupun suami aku cuma seorang menantu kepada mak, tapi layanan mak padanya sangat baik.

'Mak, semoga roh mak tenang di sana. Ija hanya mampu berdoa buat mak'

Al-Fatihah buat arwah mak

Selasa, 8 September 2009

TAHLIL ARWAH MAK


Pada 5/9/2009 lepas, aku mengadakan tahlil untuk arwah mak di rumahku. Sudah lama aku dan suami berhajat untuk mengadakan tahlil ini di rumah kami, tapi masa agak terbatas.

Mengambil keberkatan bulan puasa ini, kami menjemput beberapa orang untuk bertahlil bersama-sama. Tahlil kami adakan pada jam 6.30 petang dan diikuti dengan majlis berbuka puasa. Sebelum ini aku dan suami sering juga mengadakan tahlil untuk arwah mak, tapi tahlil oleh kami sekeluarga sahaja. Kebiasaannya, selepas sembahyang maghrib berjemaah, dengan diketuai oleh suami, kami anak beranak akan bertahlil bersama-sama.

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. InsyaAllah, tahlil untuk arwah mak akan sentiasa kami adakan.

Al-Fatihah untuk arwah mak.

Rabu, 2 September 2009

PUSARA MAK



Semalam adik aku Halim mengirimkan gambar pusara arwah mak yang telah 90% siap. InsyaAllah akan siap sepenuhnya dalam beberapa hari lagi.

Melihatkan gambar pusara ini, menambahkan lagi hiba di hati aku. Tak terucap dengan kata-kata betapa aku masih merindui mak. Masih terbayang-bayang di ruang mata ini saat mak menghembuskan nafas terakhir. Mak, akan kami jaga pusara mak ini dengan sebaik mungkin. Kami sayang mak...



Al-Fatihah untuk arwah mak.

Khamis, 6 Ogos 2009

MOGA ROH MAK TENANG DI ALAM SANA

Telah seminggu ingatan ku tak pernah lekang dari mengingati mak. Bilakah aku dapat berjumpa mak? BILA? BILA? BILA? Macam mana caranya aku dapat berjumpa mak. Pertanyaan yang tiada jawapannya. Setiap kali mengingati mak, airmata aku turut mengalir. Makin aku cuba menahannya, makin rasa sesak di dada. Sehingga aku bertanya kepada suami 'Apa khabarlah mak di sana'.

Aku cuba tenangkan hati. Aku sedekahkan Al Fatihah. Aku sedekahkan bacaan Al-Quran. Aku berdoa moga roh mak di tempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Aku doakan roh mak tenang di sana. Ya ALLAH, ampunkan dosa-dosa mak. Jauhkan mak dari azab siksa kubur. Ampunkan dosa semua orang-orang Islam.

'Mak, insyaAllah, selagi Ija mampu, Ija akan terus membaca ayat-ayat suci Al-Quran buat mak. Ija terlalu sayangkan mak. Sebagaimana mak sayangkan Ija, macam tulah Ija sayangkan mak. Mak, Ija rindukan mak, Ija nak jumpa mak.....'

Rabu, 29 Julai 2009

REZEKI INI UNTUK MAK

Pemergian mak membuat aku terasa kehilangan segala-galanya dalam hidup. Walaupun aku ada suami, anak-anak dan keluarga yang bahagia, tapi tidak menyamai kasih seorang mak.



Sebaik tamat pengajian di ITM, aku melangkah ke alam pekerjaan. Bermula dengan gaji yang pertama sehingga ke saat akhir hayat mak, telah 20 tahun aku tidak pernah lupa untuk memberi rezeki yang kuperolehi kepada mak. Hari raya aku akan memberi lebih kepada mak buat persiapan untuk menyambut raya. Kadang-kadang mak bertanya 'Kenapa bagi banyak sangat ni, nanti untuk Ija tak cukup pulak'. Ya Allah, mulianya hati mak tidak mahu melihat aku susah kerana dia. Pertanyaan mak selalunya aku jawab 'Mana pulak banyak mak, kalau boleh Ija nak bagi lebih lagi'. Mak hanya tersenyum sambil menjawab terima kasih.


Setiap kali aku memberi mak duit atau hadiah, mak tidak pernah lupa untuk mengucapkan terima kasih. Bagi aku duit yang aku bagi kepada mak selama ini, tidak akan dapat membalas kasih sayang mak kepada aku, malah ucapan terima kasih itu tidak perlu diucapkan oleh mak kepada aku. Aku yang seharusnya mengucapkan terima kasih kepada mak kerana mak telah mendidik aku menjadi aku seperti hari ini.


Aku belum puas untuk berkongsi duit gajiku dengan mak. Mak pernah berkata 'Dah penat Ija bagi mak duit, tak dapat mak nak menyimpannya, ada je hal nak guna duit'. Mungkin bagi mak duit yang aku bagi tu sepatutnya disimpan. Bukan digunakan untuk perbelanjaan. Walau jumlahnya tak besar, bagi mak sangat menghargai pemberianku itu.


Kini setelah mak tiada, aku mula memikirkan untuk berhenti kerja. Dulu salah satu sebab aku terus bekerja ialah kerana mak. Aku mahu memberi mak duit gajiku setiap bulan. Aku mahu mak merasa hasil didikan mak selama ini kepada aku. Aku mahu menggembirakan hati mak. Aku mahu mak merasa bangga dengan anak mak ini.

'Mak, Ija dah masukkan duit tadi'. Inilah yang selalu kukatakan pada mak setiap kali duit untuk mak telah kumasukkan dalam bank. Mak, tidak akan ada lagi panggilan telefon ini dari Ija untuk mak.


Kini untuk apa lagi aku bekerja. Tiada mak lagi untuk kuberikan gajiku. InsyaAllah, kalau aku tidak bekerjapun, suamiku masih mampu untuk menanggung kami sekeluarga. Selama inipun gajiku tidak banyak menyumbang untuk perbelanjaan keluarga. Pada suami telah kuterangkan segala-galanya dan alhamdulillah dia bersetuju untuk aku berhenti kerja dan menguruskan rumahtangga sahaja. Syukur juga kerana rezeki suamiku semakin murah.