Ahad, 4 Oktober 2009

RAYA TANPA MAK

Tahun ini tahun pertama kami sekeluarga berhari raya tanpa mak. Raya ini kurang meriah rasanya. Kebetulan tahun ini aku sekeluarga berhari raya di Kuala Terengganu terlebih dahulu, hari raya ke 3 baru kami balik kampung di Negeri Sembilan.

Tahun-tahun semasa mak masih ada, aku pasti akan ke Pasar Payang untuk membelikan buah tangan hari raya buat mak dan abah. Tapi tahun ini pasar ini tidak kujejaki. Tiada maknanya aku membeli kalau orang yang kusayangi telah tiada. Untuk abah pula telah lama kubelikan kain pelikat cuma belum berkesempatan untuk bagi pada abah lagi.

Tiada persiapan raya langsung buat diri aku. Hanya 2 helai baju yang telah lama ku tempah semasa menjaga mak sakit dahulu dan hanya siap sehari sebelum raya. Baju yang sepatutnya baju untuk pergi bekerja telah menjadi baju raya. Baju anak-anak perempuan pula semua ku jahit sendiri. Biskut hanya ku beli satu jenis sahaja. 2 jenis pula diberi oleh jiran dan 1 jenis lagi diberi oleh kawan suami. Aku hanya membeli beberapa jenis kerepek di kedai.

Hari raya ke 3 aku sampai di kampung dalam pukul 10.00 malam. Tiada mak yang menyambutku seperti selalu. Tiada rendang yang menjadi sebutan dan kesukaan suami dan anak-anak yang sering mak buat setiap kali raya. Raya ini benar-benar sepi tanpa mak. Aku menangis di dalam hati. Tidak mungkin untuk kutunjukkan pada abah. Aku rasa mak seolah -olah ada di dapur menyambutku seperti selalu. Mengajak aku makan apa yang ada. Bersembang dengan aku di dapur dan meluahkan apa saja yang terbuku di hati mak. Disebabkan aku hanya balik dalam masa yang singkat, aku dan mak selalu bersembang sampai larut malam. Aku menjadi pendengar setia mak. Mak juga akan mendengar cerita-cerita aku. Kami bertukar-tukar cerita. Ketawa kami membelah kesunyian malam.

Kini kenangan raya bersama mak hanya tinggal kenangan. 3 hari aku dan suami bertahlil di pusara arwah mak. Aku terasa begitu dekat dengan mak. Terima kasih kepada suami aku yang sering mengingatkan aku dan anak-anak untuk sedekahkan al-fatihah, bacaan al-quran dan doa buat mak. Alhamdulillah, walaupun suami aku cuma seorang menantu kepada mak, tapi layanan mak padanya sangat baik.

'Mak, semoga roh mak tenang di sana. Ija hanya mampu berdoa buat mak'

Al-Fatihah buat arwah mak

Selasa, 8 September 2009

TAHLIL ARWAH MAK


Pada 5/9/2009 lepas, aku mengadakan tahlil untuk arwah mak di rumahku. Sudah lama aku dan suami berhajat untuk mengadakan tahlil ini di rumah kami, tapi masa agak terbatas.

Mengambil keberkatan bulan puasa ini, kami menjemput beberapa orang untuk bertahlil bersama-sama. Tahlil kami adakan pada jam 6.30 petang dan diikuti dengan majlis berbuka puasa. Sebelum ini aku dan suami sering juga mengadakan tahlil untuk arwah mak, tapi tahlil oleh kami sekeluarga sahaja. Kebiasaannya, selepas sembahyang maghrib berjemaah, dengan diketuai oleh suami, kami anak beranak akan bertahlil bersama-sama.

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. InsyaAllah, tahlil untuk arwah mak akan sentiasa kami adakan.

Al-Fatihah untuk arwah mak.

Rabu, 2 September 2009

PUSARA MAK



Semalam adik aku Halim mengirimkan gambar pusara arwah mak yang telah 90% siap. InsyaAllah akan siap sepenuhnya dalam beberapa hari lagi.

Melihatkan gambar pusara ini, menambahkan lagi hiba di hati aku. Tak terucap dengan kata-kata betapa aku masih merindui mak. Masih terbayang-bayang di ruang mata ini saat mak menghembuskan nafas terakhir. Mak, akan kami jaga pusara mak ini dengan sebaik mungkin. Kami sayang mak...



Al-Fatihah untuk arwah mak.

Khamis, 6 Ogos 2009

MOGA ROH MAK TENANG DI ALAM SANA

Telah seminggu ingatan ku tak pernah lekang dari mengingati mak. Bilakah aku dapat berjumpa mak? BILA? BILA? BILA? Macam mana caranya aku dapat berjumpa mak. Pertanyaan yang tiada jawapannya. Setiap kali mengingati mak, airmata aku turut mengalir. Makin aku cuba menahannya, makin rasa sesak di dada. Sehingga aku bertanya kepada suami 'Apa khabarlah mak di sana'.

Aku cuba tenangkan hati. Aku sedekahkan Al Fatihah. Aku sedekahkan bacaan Al-Quran. Aku berdoa moga roh mak di tempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Aku doakan roh mak tenang di sana. Ya ALLAH, ampunkan dosa-dosa mak. Jauhkan mak dari azab siksa kubur. Ampunkan dosa semua orang-orang Islam.

'Mak, insyaAllah, selagi Ija mampu, Ija akan terus membaca ayat-ayat suci Al-Quran buat mak. Ija terlalu sayangkan mak. Sebagaimana mak sayangkan Ija, macam tulah Ija sayangkan mak. Mak, Ija rindukan mak, Ija nak jumpa mak.....'

Rabu, 29 Julai 2009

REZEKI INI UNTUK MAK

Pemergian mak membuat aku terasa kehilangan segala-galanya dalam hidup. Walaupun aku ada suami, anak-anak dan keluarga yang bahagia, tapi tidak menyamai kasih seorang mak.



Sebaik tamat pengajian di ITM, aku melangkah ke alam pekerjaan. Bermula dengan gaji yang pertama sehingga ke saat akhir hayat mak, telah 20 tahun aku tidak pernah lupa untuk memberi rezeki yang kuperolehi kepada mak. Hari raya aku akan memberi lebih kepada mak buat persiapan untuk menyambut raya. Kadang-kadang mak bertanya 'Kenapa bagi banyak sangat ni, nanti untuk Ija tak cukup pulak'. Ya Allah, mulianya hati mak tidak mahu melihat aku susah kerana dia. Pertanyaan mak selalunya aku jawab 'Mana pulak banyak mak, kalau boleh Ija nak bagi lebih lagi'. Mak hanya tersenyum sambil menjawab terima kasih.


Setiap kali aku memberi mak duit atau hadiah, mak tidak pernah lupa untuk mengucapkan terima kasih. Bagi aku duit yang aku bagi kepada mak selama ini, tidak akan dapat membalas kasih sayang mak kepada aku, malah ucapan terima kasih itu tidak perlu diucapkan oleh mak kepada aku. Aku yang seharusnya mengucapkan terima kasih kepada mak kerana mak telah mendidik aku menjadi aku seperti hari ini.


Aku belum puas untuk berkongsi duit gajiku dengan mak. Mak pernah berkata 'Dah penat Ija bagi mak duit, tak dapat mak nak menyimpannya, ada je hal nak guna duit'. Mungkin bagi mak duit yang aku bagi tu sepatutnya disimpan. Bukan digunakan untuk perbelanjaan. Walau jumlahnya tak besar, bagi mak sangat menghargai pemberianku itu.


Kini setelah mak tiada, aku mula memikirkan untuk berhenti kerja. Dulu salah satu sebab aku terus bekerja ialah kerana mak. Aku mahu memberi mak duit gajiku setiap bulan. Aku mahu mak merasa hasil didikan mak selama ini kepada aku. Aku mahu menggembirakan hati mak. Aku mahu mak merasa bangga dengan anak mak ini.

'Mak, Ija dah masukkan duit tadi'. Inilah yang selalu kukatakan pada mak setiap kali duit untuk mak telah kumasukkan dalam bank. Mak, tidak akan ada lagi panggilan telefon ini dari Ija untuk mak.


Kini untuk apa lagi aku bekerja. Tiada mak lagi untuk kuberikan gajiku. InsyaAllah, kalau aku tidak bekerjapun, suamiku masih mampu untuk menanggung kami sekeluarga. Selama inipun gajiku tidak banyak menyumbang untuk perbelanjaan keluarga. Pada suami telah kuterangkan segala-galanya dan alhamdulillah dia bersetuju untuk aku berhenti kerja dan menguruskan rumahtangga sahaja. Syukur juga kerana rezeki suamiku semakin murah.

Isnin, 20 Julai 2009

DUKA DAN LUKA MAK

Sejak kebelakangan ini aku selalu tidak sihat. Aku juga sudah lama tidak menjengok blok ini kerana setiap kali aku melihat tajuk blok ini, aku tidak mampu untuk meneruskannya. Aku sebak.


"Mak, Ija ingin menjadi setabah mak. Setabah mak melawan penyakit mak. Tiada airmata dari mak yang merungkaikan penyakit yang mak deritai. Tiada airmata juga yang Ija pamerkan depan mak. Ija sentiasa gembirakan hati mak. Ija sering bercerita dengan mak tentang kenangan manis dengan mak. Sesekali mak tersenyum mendengar cerita Ija. Seingat Ija, ada 2 atau 3 kali mak menangis depan Ija, tapi bukan kerana penyakit mak. Mak menangis menceritakan masa silam mak yang penuh duka.
Mak, sebagai anak, Ija hanya mampu mendengar cerita mak. Cerita lara mak. Biarlah cerita-cerita itu menjadi sejarah luka mak yang mak bawa sampai ke akhir hayat mak. Di saat mak bergelut dengan penyakit mak, mak masih mampu bercerita dengan Ija. Mak, harap mak reda dengan apa yang berlaku. Ija selalu berpesan dengan mak, lupakan kisah-kisah duka dan luka itu, mak laluilah hari mendatang dengan semangat baru. Mak akur dengan cakap Ija. Tapi baru Ija tahu, luka mak memang tak boleh sembuh. Darahnya sentiasa mengalir, walau sedikit.
Mak, sedih, duka, lara, luka yang mak rasai dan deritai tak dapat Ija bayangkan. Ija tak pernah lalui semua itu. Mak, kala mak menangis menceritakan semua ini, Ija kelu. Ija cuba mengubah keadaan, tapi Ija tak berdaya mak. Kehidupan mak telah dimulai dengan sebegitu rupa, Ija tak mampu untuk mengubahnya dalam sekelip mata."
Mak, anak-anak sangat sayangkan mak. Kalaulah masa dapat diulang kembali.....

Ahad, 28 Jun 2009

BALIK KAMPUNG



Setelah sebulan pemergian mak mengadap Ilahi, inilah baru aku berpeluang balik ke kampung menjenguk abah dan adik-adik. Lagipun selain dari balik kampung, aku mempunyai program lain, iaitu program suami di Maran, melawat anak sulong aku di Kolej Matrikulasi Pahang dan melawat adik ipar aku yang akan dibedah untuk bersalin di Hospital Putrajaya.


24/6/2009


Jam 5.40 petang, masa aku sedang memandu kereta untuk pulang ke rumah dari tempat kerja, abah menelefonku. Suara abah agak tersekat-sekat. Aku dapat rasakan sesuatu yang tidak kena. Aku maklumkan kepada abah akan menelefon semula kerana aku sedang memandu. Oleh kerana perasaan tidak tenteram, aku memberhentikan kereta dan menelefon abah.


Abah dengan suara yang tersekat-sekat berkata 'Abah dah tak tahan dah, dada rasa membuak-buak, rasa sayu sangat, perut sakit, pedih ulu hati, makan tak lalu, suarapun tak berapa nak keluar'. Abah terus menangis. Ya Allah, apa yang harus aku buat. Walaupun aku tahu, semua ini hanya bersangkut dengan perasaan abah yang kehilangan mak, dan bukan kerana apa-apa penyakit. Aku hanya meminta abah bersabar, itu aje yang mampu aku katakan. Aku juga maklumkan akan balik petang ni dan mungkin akan sampai ke kampung petang esok atau pagi Jumaat. Akupun belum berbincang dengan suami bila sebenarnya dapat balik.


Jam 6.15 petang aku, suami dan 4 orang anak-anak aku bertolak ke Kuantan, Pahang kerana suami mempunyai program di Maran pada jam 11.00 pagi 25/6/2009. Sampai di Kuantan, kami check in dulu dan bereha di Hotel Seri Malaysia, Kuantan kerana program berlangsung keesokan harinya.


25/6/2009


Jam 9.30 pagi kami bertolak ke Maran. Selesai program di sana, dalam jam 12.30 kami terus balik ke kampung. Kami singgah sekejap di rumah adik ipar di Bangi untuk bertemu dengan mak mertua yang akan menjaga adik ipar nanti. Kemudian terus ke kedai sate dan membeli sate untuk dibawa balik ke kampung.


Jam 6.00 petang kami sampai ke kampung. Abah menyambut kami dengan tangisan dan aduan tentang sakitnya. Aku cuba menenangkannya. Aku dapat tahu abah takut kalau-kalau dapat sakit yang macam arwah mak hadapi dahulu.


Setelah berbincang dengan Halim, kami bersetuju abah di bawa ke Hospital Pakar Senawang. Bagi aku, biarlah abah dapat diperiksa dan sekurang-kurangnya abah berpuas hati untuk mengetahui apakah penyakit yang dihadapinya. Halim maklumkan tak dapat hantar abah kalau hari bekerja kerana tidak mendapat cuti, sebaliknya boleh hantar sekiranya hari Sabtu atau Ahad. Tapi kami bimbang kalau-kalau pemeriksaan tidak dilakukan pada hari cuti.


Aku maklum pada Chana dan Chana bersetuju untuk menghantar abah pada petang esok, selepas sembahyang Jumaat. Aku maklumkan pada abah tentang rancangan kami.


26/6/2009


Jam 6.50 pagi aku, suami dan Syamil ke kubur arwah mak untuk bacaan Yaasin dan tahlil. Sedang kami membaca Yaasin, abah sampai dan menangis teresak-esak di kubur mak sambil memanggil mak.


Jam 9.00 aku bersiap-siap untuk Hospital Putrajaya dan seterusnya balik ke Terengganu. Sedang aku bersiap di dalam bilik bersama suami, abah masuk dan bertanya bila aku balik ke Terengganu, aku jawab 'nak baliklah ni, nak bersiap dulu'. Abah terus menangis dan cakap 'abah dah tak tahan dah ni, rasa membuak-buak di dada, rasa sayu, abah nak pergi hospital sekarang'. Suami bertanya adakah aku dah maklum kepada abah kami nak balik pagi ni, aku jawab memang aku dah maklum. Bik masuk campur dan suruh abah bertenang, mak dulu sakit tak bising pun, lagilah mak banyak penyakit, ni abah... macam-macam yang Bik luahkan. Aku yang berada di dalam bilik mengiakan apa yang dikatakan Bik. Bagi aku abah cuma mengalami tekanan perasaan dan emosi.


Suami aku terus mengajak aku membawa abah ke hospital. Aku mendapatkan abah dan suruh bersabar sebab Chana akan bawa lepas sembahyang Jumaat nanti. Abah dah tak sabar, jadi aku ajak dia pergi sekarang. Tapi katanya nanti menyusahkan aku sebab hantar dia ke hospital kemudian hantar balik pulak ke rumah. Aku kata aku tak apa. Bik masih marah-marah dan cakap kalau orang dah nak hantar tu pergi jelah.


Abah bersiap-siap. Dalam kereta abah mengadu tak boleh bercakap dengan Bik dan Uda, mesti nak marah-marah, dengan Chana aje cakap lembut dengan abah. Aku hanya diam. Suami aku cuba menenangkan abah dan berharap abah dapat bertenang, bersabar dan cuba juga memahami anak-anak sebab mereka juga merasakan kesedihan kehilangan mak. Cuma mereka tak meluahkan pada abah.

Samapi di Hospital Pakar Senawang (Salam), aku terus mendaftar untuk abah dan ingin bertemu dengan Dr. Zul, doktor yang pernah merawat mak dulu. Kuceritakan situasi abah dan minta buat pemeriksaan rapi untuk abah.

Hasil pemeriksaan didapati abah sihat dan hanya mengalami tekanan perasaan. Syukur, abah sihat dan sekurang-kurangnya abah puas hati kerana mendapat pengesahan doktor abah sihat.

Aku menghantar abah ke rumah Halim kerana abah nak berehat di sana. Aku balik kampung semula dan selesai sembahyang Jumaat terus bertolak ke Hospital Putrajaya.

Kadang-kadang aku merasakan abah inginkan perhatian anak-anak untuk merawat kesunyiaan. Abah, insyaAllah, kalau ada masa lapang kami akan selalu balik menziarahi abah.


Rabu, 24 Jun 2009

MAK TUKANG JAHIT YANG MAHIR

Mak sangat pandai menjahit baju. Semua fesyen boleh mak jahit - baju kurung, kurung moden, blaus, seluar, baju melayu, kebaya, malah fesyen-fesyen yang terdapat di dalam majalah fesyen boleh mak buat dan jahit.
Hampir semua baju-baju dari zaman kanak-kanak hinggalah ke zaman anak dara dijahit oleh mak. Aku sangat bangga memakai baju jahitan mak. Mak juga mengambil upah menjahit baju. Walau sesibuk manapun mak menjahit baju pelanggan, baju aku tidak pernah mak lambat menjahitnya. Mak akan membeli kain dan terus menjahitnya. Aku hanya menerima yang telah siap dijahit sahaja. Setahun setelah berkahwin, barulah aku menempah baju dengan orang lain. Itupun kerana aku duduk berjauhan, mak di Negeri Sembilan, aku di Terengganu.
Kemahiran mak menjahit serba sedikit turun kepada aku. Walau aku tak semahir mak, sekurang-kurangnya aku boleh menjahit baju kurung atau kebaya. Kalau tukang jahit tak terima untuk menjahit kerana sudah ramai pelanggan, aku boleh menjahit sendiri. Anak-anak perempuan akupun lebih suka aku menjahit baju mereka., kata mereka baju yang aku jahit jauh lebih selesa. Tapi masa tak mengizinkan aku untuk menjahit selalu.

KENANGAN MANIS DENGAN MAK



Semalam aku pergi ke satu blog tu, merahsamar nama blog tu, penulis nama inna, aku dengar lagu Keluhan Dara. Ya Allah, berjurai-jurai air mata aku. Lagu ni lagu lama, tiba-tiba aku teringatkan mak. Mak... kenapa terlalu cepat mak pergi....


Sebenarnya terlalu banyak kenangan-kenangan manis aku bersama mak. Kalau dulu kenangan ini membuatkan aku sering tersenyum, tapi kini ianya benar-benar menyiksa jiwa dan raga aku.

MAK TUKANG MASAK YANG HEBAT


Aku masih ingat masa aku sekolah dulu, mak sering menyiapkan sarapan pagi sebelum aku ke sekolah. Tak pernah sekalipun perut aku kosong ke sekolah. Mak akan masak nasi lemak, meehoon goreng, kuih muih kesukaan aku - karipap, kuih keria, cucur badak atau seri muka malah roti canai pun pernah mak buat. Kuih muih akan mak sediakan pada waktu malam dan hanya perlu menggoreng sahaja sebelum aku ke sekolah. Aku dan adik beradik lain akan menemani mak menguli tepung, membantu mak menyediakan adunan. Aku belajar membuat kelim di keliling karipap melalui mak. Walaupun tak secantik buatan mak, tapi aku bangga kerana di usia kanak-kanak aku berjaya membuatnya. Kadang-kadang aku mengacau mak dengan membuat karipap pelbagai bentuk - empat segi, bulat, bentuk bakul dan macam-macam bentuk. Mak akan menyuruh aku makan sendiri karipap yang aku buat, kononnya orang lain takkan makan nanti.


Bagi aku mak seorang tukang masak yang sangat hebat. Apa sahaja yang aku nak makan, mak tak perlu mencarinya di kedai. Mak akan sediakan sendiri. Yang aku hairan sebut sahaja makanan apa yang aku nak, mak terus menyediakannya dan bahan-bahan sentiasa ada di rumah.


Sehinggalah aku dewasa dan berkahwin, mak sentiasa memasak untuk aku. Tambahan lagi aku duduk berjauhan dengan keluarga, setiap kali balik kampung, mak tahu apa yang menjadi kesukaan aku.


Mak sangat mengingati masakan-masakan kegemaran aku. Setiap kali balik ke rumah, mak menyediakan masakan dan makanan kegemaran aku. Aku sangat suka gulai pucuk ubi, rebung, udang atau ayam, mak tidak pernah lupa memasak untuk aku. Telah menjadi tabiat aku, sampai ke rumah akan terus ke dapur mencari masakan mak. Kadang-kadang aku tidak menjangka mak telah sediakan makanan kegemaran aku sebaik tahu aku akan pulang. Buka saja periuk, selalu aku menjerit kesukaan. Mak akan tersenyum sambil berkata 'Takda apa yang mak masak untuk Ija, itu aje yang ada'. Ya Allah mak, aku takkan dapat mendengar semua ini lagi.

Selasa, 23 Jun 2009

AKU RINDU MAK

Aku wujudkan blog ini khas untuk mengingati kenangan-kenangan aku bersama arwah mak yang telah meninggalkan kami sekeluarga pada 26 Mei 2009.

Walau hampir sebulan mak meninggalkan kami, aku masih tidak dapat menerima sepenuhnya hakikat bahawa mak telah pergi buat selama-lamanya. Saban hari bayangan mak sentiasa bermain-main di ruang mata aku.

Banyak yang mengingatkan aku tentang mak. Apa saja yang kubuat yang mengingatkan mak, menyebabkan aku terhenti dari melakukannya. Baju yang pernah kupakai ketika menjaga mak sakit kalau boleh tidak mahu aku pandang apatah lagi memakainya, tudung aku yang menutupi wajah mak sebaik mak menghembus nafas terakhir tidak boleh kupandang langsung, sebak rasa hati, masakan yang selalu mak masak untuk aku, tidak tergamak untuk aku memasaknya, dan banyak lagi yang mengingatkan aku terhadap mak.

Pada siapa harus kuluahkan keluh kesah ini? Hati terasa mati dengan pemergiannya.