Rabu, 24 Jun 2009

KENANGAN MANIS DENGAN MAK



Semalam aku pergi ke satu blog tu, merahsamar nama blog tu, penulis nama inna, aku dengar lagu Keluhan Dara. Ya Allah, berjurai-jurai air mata aku. Lagu ni lagu lama, tiba-tiba aku teringatkan mak. Mak... kenapa terlalu cepat mak pergi....


Sebenarnya terlalu banyak kenangan-kenangan manis aku bersama mak. Kalau dulu kenangan ini membuatkan aku sering tersenyum, tapi kini ianya benar-benar menyiksa jiwa dan raga aku.

MAK TUKANG MASAK YANG HEBAT


Aku masih ingat masa aku sekolah dulu, mak sering menyiapkan sarapan pagi sebelum aku ke sekolah. Tak pernah sekalipun perut aku kosong ke sekolah. Mak akan masak nasi lemak, meehoon goreng, kuih muih kesukaan aku - karipap, kuih keria, cucur badak atau seri muka malah roti canai pun pernah mak buat. Kuih muih akan mak sediakan pada waktu malam dan hanya perlu menggoreng sahaja sebelum aku ke sekolah. Aku dan adik beradik lain akan menemani mak menguli tepung, membantu mak menyediakan adunan. Aku belajar membuat kelim di keliling karipap melalui mak. Walaupun tak secantik buatan mak, tapi aku bangga kerana di usia kanak-kanak aku berjaya membuatnya. Kadang-kadang aku mengacau mak dengan membuat karipap pelbagai bentuk - empat segi, bulat, bentuk bakul dan macam-macam bentuk. Mak akan menyuruh aku makan sendiri karipap yang aku buat, kononnya orang lain takkan makan nanti.


Bagi aku mak seorang tukang masak yang sangat hebat. Apa sahaja yang aku nak makan, mak tak perlu mencarinya di kedai. Mak akan sediakan sendiri. Yang aku hairan sebut sahaja makanan apa yang aku nak, mak terus menyediakannya dan bahan-bahan sentiasa ada di rumah.


Sehinggalah aku dewasa dan berkahwin, mak sentiasa memasak untuk aku. Tambahan lagi aku duduk berjauhan dengan keluarga, setiap kali balik kampung, mak tahu apa yang menjadi kesukaan aku.


Mak sangat mengingati masakan-masakan kegemaran aku. Setiap kali balik ke rumah, mak menyediakan masakan dan makanan kegemaran aku. Aku sangat suka gulai pucuk ubi, rebung, udang atau ayam, mak tidak pernah lupa memasak untuk aku. Telah menjadi tabiat aku, sampai ke rumah akan terus ke dapur mencari masakan mak. Kadang-kadang aku tidak menjangka mak telah sediakan makanan kegemaran aku sebaik tahu aku akan pulang. Buka saja periuk, selalu aku menjerit kesukaan. Mak akan tersenyum sambil berkata 'Takda apa yang mak masak untuk Ija, itu aje yang ada'. Ya Allah mak, aku takkan dapat mendengar semua ini lagi.

1 ulasan:

  1. Kalau aku pulak, tiap kali balik mesti dia buat ikan bilis goreng petai, gulai ayam dan dia mesti ingat nak taruk kentang banyak2, dia selalu cakap "Halim lamak kantang".

    Lagi satu Teh susu dia, memang kaw, tak boleh lawan dgn kedai mamak atau kopitiam. Tak boleh aku bayangkan raya tahun ni macam mana. :(

    BalasPadam